Jumat, 14 Februari 2014

Pesawat Terhempas Di Selat Melaka

Pesawat

Melaka – Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA 28 milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) terhempas di Selat Melaka berhampiran Masjid Selat di sini, malam tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 8.26 malam itu, tiga mangsa masing-masing seorang juruterbang wanita Kapten Shahron Yee, 27, dan dua juruterbang pelatih lelaki Soh Sien Shoong, 22, dan Fairol Bamil, 23, terselamat.
Difahamkan ketika kejadian pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka sebelum terhempas dalam sesi latihan penerbangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.41 malam dan tiba di lokasi seminit kemudian.
“Bagaimanapun unit bantuan membawa bot bersama 15 anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh tiba di lokasi jam 8.54 malam.
“Mangsa ketiga berusia 23 tahun (Fairol) ditemui terapung kira-kira 400 meter dari pesisir pantai dan berjaya diselamatkan jam 9.30 malam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Shah Gzali Khan Shahadad, berkata dua daripada mangsa iaitu Shahron yang mengendalikan pesawat dan juruterbang pelatih Soh yang duduk di bahagian belakang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.
“Kapten berkenaan mengalami kecederaan dengan koyak kening kanan manakala Soh dari ipoh, Perak calar di bahagian belakang badan dan dirawat di Hospital Melaka.
“Manakala, juruterbang pelatih, Fairol berasal dari Sarawak diselamatkan anggota bomba dan penyelamat selepas dihanyutkan kira-kira 400 meter dari pantai,” katanya.
Menurutnya, lokasi sebenar nahas masih dalam siasatan dan pihaknya menjalankan kerja mencari bangkai pesawat sejurus selepas kejadian bagi mengelakkan ia dihayutkan arus.
Dalam pada itu, saksi, Shariman Mamat, 28, berkata ketika kejadian dia mahu menunaikan solat isyak sebelum terdengar suara meminta tolong.
Katanya, dia yang mahu terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa dihalang beberapa jemaah dan mereka sebaliknya meminta mangsa berenang ke tepi pantai berikut keadaan gelap.
“Apabila lelaki dan wanita itu berenang sehingga ke tepi perkarangan masjid saya terjun menyelamatkan mereka dan jemaah lain membantu mengangkat mangsa yang cedera sebelum di bawa ke Hospital Melaka menaiki kereta peronda polis.
“Namun, mereka sempat berpesan supaya menyelamat seorang lagi rakan mereka yang hanyut di laut sebelum kami terlihat cahaya lampu suluh yang dipegang mangsa dan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya. - HARIAN METRO

Tidak ada komentar:

Posting Komentar