Rabu, 01 Januari 2014

Keluarga Sirul harap tiada lagi umpat keji

Ibu Sirul, Piah

TAIPING – Ahli keluarga Koperal Sirul Azhar Umar beranggapan pembebasan anggota polis itu daripada hukuman gantung, kelmarin akan menghentikan tohmahan yang dilemparkan orang ramai kepada keluarga itu sejak 2006 lalu.

Ibunya, Piah Ahmad, 70, berkata, selama ini mereka hanya bersabar dengan umpat keji masyarakat yang menganggap anaknya pembunuh.

Menurutnya, sikap saling mempercayai antara ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain membolehkan mereka berjaya menempuh kehidupan sepanjang lapan tahun kebelakangan ini.

"Makcik bersyukur kerana selama ini sokongan ahli keluarga amat kuat. Selama ini kami bersabar mendengar umpat keji orang. Jadi selepas ini, harap tidak ada lagi yang buruk sangka kepada kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu 8, Trong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, kelibat Sirul Azhar, 42, anak keempat daripada lapan beradik itu, tidak kelihatan sepanjang kunjungan Sinar Harian ke rumah berkenaan.

Piah memaklumkan bahawa mereka sekeluarga belum mendapat perkhabaran terkini berkenaan tarikh sebenar Sirul Azhar akan pulang ke kampung.

"Mungkin dalam sehari dua lagi. Saya tidak kisah bila dia nak balik. Kami sekeluarga sentiasa menanti kepulangannya dan syukur kepada ALLAH kerana memakbulkan doa kami.

"Hari Sirul dibebaskan dari hukuman (kelmarin), adalah hari paling gembira untuk kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, adik Sirul Azhar, Khairul Nizam, 38, memaklumkan bahawa tempias pembabitan abangnya dalam kes berprofil tinggi itu turut dirasai anak bongsu abangnya, Syukri Azam, 13.

Katanya, kehidupan Syukri Azam sering terganggu apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang melemparkan kata-kata kesat dengan menggelar ayahnya sebagai pembunuh.

"Dia sering diejek oleh kawan-kawannya di sekolah. Ada yang kata ayah dia pembunuh dan saya harap selepas ini tak ada lagi yang melemparkan kata-kata seperti itu.

"Ada juga pihak yang mendakwa kami terima RM3 juta. Itu semua fitnah. Jika betul, kami sudah hidup mewah tetapi lihatlah. Kami tidak memiliki apa-apa," katanya.

Difahamkan, sejak Sirul Azhar dipenjarakan, ahli keluarganya mengambil keputusan untuk menjaga anak keduanya itu, sementara anak sulungnya, Siti Zulaikha, 16 tinggal bersama ibunya setelah penceraian Sirul Azhar dengan isterinya.

Menurut Khairul Nizam, abangnya tidak pernah sedikitpun melupakan keluarga, malah selama berada dalam penjara, dia sering bertanya perihal anak-anaknya.

"Sebelum ini, Syukri memang tinggal bersama ayahnya di Kuala Lumpur. Tetapi selepas abang saya dipenjarakan, kami ambil keputusan untuk menjaganya," katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar